Friday, April 22, 2011

Wajib bayar gaji amah melalui bank



SEORANG pembantu rumah (kiri) mengasuh anak majikannya di sebuah rumah di Cheras, Kuala Lumpur. – Gambar hiasan




PUTRAJAYA – Kerajaan akan mewajibkan majikan supaya membayar gaji pembantu rumah mereka melalui akaun bank dan bukan lagi secara tunai.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam (gambar) berkata, langkah baharu itu akan diperkenalkan pada Jun ini.
“Langkah ini bagi menjamin dan melindungi kepentingan majikan dan pembantu rumah,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam, berkata langkah baru itu selaras dengan kandungan perjanjian persefahaman yang akan ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia bulan depan bagi memuktamadkan persetujuan berkaitan isu pembantu rumah dari negara itu.
“Langkah ini adalah untuk melindungi kedua-dua pihak, majikan dan pembantu rumah. Kadangkala ada pembantu rumah mengadu tidak dibayar gaji tapi majikan kata sudah bayar, jadi untuk menyelesaikan masalah ini, kita mahu majikan bayar gaji terus ke dalam bank sebagai bukti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dassault Systemes, Strand Aerospace Malaysia dan Feiran Technology, di sini, semalam. 

Sebelum ini, kerajaan bercadang mengkaji pindaan terhadap Akta Kerja 1955 bagi mewajibkan majikan memasukkan gaji pembantu rumah terus dalam akaun bank.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang berpendapat sistem pembayaran gaji secara terus kepada pembantu rumah asing yang diamalkan majikan sejak sekian lama berasaskan prinsip saling mempercayai dan sifat mesra kekeluargaan, tidak perlu diubah. 
Mengenai laporan bahawa Kedutaan Indonesia di Malaysia menerima lebih 1,000 aduan daripada rakyatnya di sini setahun dengan 60 peratus daripadanya membabitkan kes pembantu rumah dianiaya majikan termasuk tidak dibayar gaji, Dr Subramaniam berkata, hanya 60 kes setahun yang diterima pihak polis membabitkan kes pembantu rumah teraniaya.

“Kita ada sistem undang-undang untuk menangani kes pembantu rumah yang dianiaya. Mungkin pembantu rumah ini tidak melaporkan kepada pihak polis sebaliknya hanya mengadu kepada kedutaan.

“Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan hanya segelintir atau 0.5 peratus majikan yang tidak bertanggungjawab. Jangan hanya kerana segelintir majikan ini, 99.5 peratus majikan lain yang baik turut didakwa tidak bertanggungjawab,” katanya.

Ditanya mengenai laporan sebuah akhbar tempatan yang mahu kerajaan mewujudkan gerakan dikenali sebagai ‘1Melayu, 1Bumi’ membabitkan kesemua parti Melayu, beliau berkata, ia tidak mencerminkan polisi dan dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Surat khabar boleh katakan apa saja tetapi kerajaan jelas memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum,” katanya. 

0 insan comel komen:

Post a Comment


Please leave your comments ladies and gentleman.Thank you so much for reading!