Min Malik beralih arah ke askar wataniah

WALAUPUN sudah menyertai askar Wataniah, Min masih menyimpan hasrat untuk kembali menyanyi. SIAPA sangka, sejak lebih sedekad artis ...


WALAUPUN sudah menyertai askar Wataniah, Min masih menyimpan hasrat untuk kembali menyanyi.


SIAPA sangka, sejak lebih sedekad artis Yasmin Malik atau dikenali dengan nama komersial Min Malik yang lama menyepi dalam industri hiburan, kini beralih minat memasuki bidang ketenteraan – askar simpanan atau wataniah sebagai Parajurit Muda Askar Wataniah.
Segak memakai pakaian celoreng persis seorang kesatria, tiada siapa menduga dan menyedari kehadiran Min Malik dalam pasukan Platun Media Wataniah di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kem Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada awal penyertaannya dalam pasukan itu sebelum dia memperkenalkan diri kepada rakan-rakan rekrut lain di kem berkenaan.
Tidak keterlaluan dikatakan bahawa figura yang popular dengan lagu Flora Cinta sekitar tahun 90-an itu memiliki mental dan fizikal yang kuat, tabah dan ‘tak ego’ apabila bersama dengan anggota wataniah lain ketika menjalani latihan.
Difahamkan, Min Malik merupakan satu-satunya artis yang beralih dari bidang nyanyian ke askar simpanan.
Sebelum dia beralih arah, Min bukan asing dalam industri nyanyian. Selain hit dengan lagu Flora Cinta, dia mempunyai tiga buah album, Kasih Bersemi (tidak diedarkan) serta Soalnya Bisa yang dikeluarkan semasa dia kembali belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Malangnya, menurut Min Malik, Soalnya Bisa tidak sempat dipromosikan kerana kesibukannya belajar.
Mengajak dia berbicara tentang zaman kegemilangannya, Min mula bercerita.
Katanya: “Ramai sering tanya saya tentang lagu Flora Cinta, ciptaan Adnan Abu Hassan dan Perjalanan Duka, ciptaan Zul Mahat dan lirik oleh Mama Juwie.
“Saya merakam Flora Cinta ketika berusia lebih kurang 15 atau 16 tahun, pada umur yang terlalu naif. Semua memori tentang album itu manis. Sambutannya amat baik, dan berada di tempat pertama dalam siaran radio Wilayah (jika saya tidak silap) untuk tiga atau empat bulan.
“Tetapi kejayaannya dan sambutan tersebut telah tidak diterjemahkan kepada jualan rekod atau album, walaupun edarannya dibuat oleh Sony Malaysia ketika itu.”
Tambahnya, biar tidak sempat mengecap populariti berpanjangan, dia masih berpeluang berlakon teater, selain diberi peluang untuk hos rancangan TV dalam negeri dan di Aceh, Indonesia.
Kini kehidupan Min sudah berubah jauh. Dia kini merupakan tenaga pengajar Komunikasi Massa dan Animasi di Akademi Seni Dasein, Kuala Lumpur dan juga merupakan penasihat kreatif untuk Jabatan Animasi dan mengajar Penulisan Skrip dan Penyiaran Radio di akademi tersebut.
Jelas Min, selain menjadi tenaga pengajar di akademi itu, dia akhirnya memenuhi minatnya sejak dulu yang meminati bidang ketenteraan apabila menyertai askar simpanan atau wataniah atas kerelaan diri sendiri.
MENYERTAI Platun Media, Min juga akrab bergaul dengan askar wataniah dari platun-platun lain.


Katanya, dia mula mendaftar dan menyertai wataniah secara serius, selepas bertanya kepada bapanya tentang pasukan simpanan ini pada akhir tahun lepas (2010) dan dari situ timbul keinginan untuk mencebur diri sebagai rekrut selepas mendaftar pada awal tahun ini.
Min menyertai anggota kumpulan Platun Media yang telah dilancar pada majlis pelancaran Kumpulan Ketiga, Keempat Askar Wataniah Kementerian Pertahanan dan Platun Media/Siber Askar Wataniah oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi 17 Mac lalu di padang kawad Kementerian Pertahanan.
Ketika ditanya mengapa dia menyertai wataniah, Min Malik menjawab: “Sebenarnya, selama 10 tahun selepas dilahirkan, saya membesar dalam keluarga dan persekitaran tentera. Dalam tempoh itu, saya telah berpindah dari satu kem ke satu kem, termasuklah di Kuala Lumpur, Kok Lanas (Kelantan), Kuantan dan di Fort Leavenworth (Kansas, Amerika Syarikat).
“Selepas bapa saya bersara, kami masih keluar masuk kem tentera untuk mendapat rawatan, dan saya juga sering mengikuti latihan-latihan luar yang dikendali oleh pesara-pesara tentera.”
Ujarnya lagi, kerana itu tentera bukanlah sesuatu yang asing kepadanya walaupun sebenarnya dia tidak begitu mengerti apa tugas dan kerja mereka secara terperinci.
Menurut Min, dia tidak mempunyai sesuatu sebab yang membara kenapa memasuki wataniah, melainkan pakaian seragam tentera itu diibaratkan ada satu ‘daya tarikan’ kepada ramai orang, termasuklah dirinya.
“Saya juga bersikap ingin tahu tentang apa yang ada dalam tentera yang telah nyata membentuk perwatakan bapa saya. Saya menyertai wataniah kerana saya mahu memahami kenapa bapa saya menjadi seorang tentera,” ujarnya jujur.
Dek kerana meminati bidang itu, Min mengakui rasa kesal apabila tidak mengambil kesempatan memasuki pasukan Palapes (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan) sewaktu menuntut di universiti dan penyertaan dalam Platun Media ini sedikit sebanyak mengubati kekesalan itu.
“Dengan menyertai wataniah ini, saya harap akan menjumpai diri saya yang belum saya tahu kewujudannya, serta memberi saya satu lagi jendela untuk mencipta atau menjenamakan semula seorang Min Malik.
BERBINCANG dengan seluruh anggota platun adalah rutin harian mereka.


“Saya merasakan masanya sesuai untuk saya menceburi sesuatu di luar kebiasaan saya dengan meluaskan dunia saya dan menerokai bagaimana saya boleh menyumbang kepada negara sebagai seorang askar wataniah.
“Saya berpendapat, memakai pakaian seragam tentera dan bersedia untuk memberi perkhidmatan sekiranya diperlukan, adalah satu komitmen yang mulia kepada negara kita,” kata Min penuh dengan semangat nasionalisme.
Dia kemudian menambah: “Bidang ketenteraan banyak mengajar saya mengenai makna rendah diri. Kita berada di sini sebagai satu pasukan dan kita berada di sini untuk bantu-membantu, seperti cogankata The Musketeers: All for one, and one for all.
“Saya harap saya mampu bertahan sehingga akhir latihan dan mudah-mudahan saya boleh bawa apa yang dipelajari ke dalam hidup saya secara baik. Saya juga harap akan menjadi seorang yang lebih baik kerana berada dalam wataniah.”
Sementara itu, saat ditanya tentang dunia hiburan, Min mengaku masih mempunyai cinta yang menebal terhadap bidang itu, namun, setiap rancangan berkaitan hal itu lazimnya berkait dengan prasyarat iaitu modal, kewangan dan pulangan.
“Saya selalu tertewas dengan syarat ini! Buat masa sekarang, dari segi industri ini, saya sedang aktif menyanyi lagu versi Melayu untuk program TV di saluran Disney.
“Sekarang, belum lagi ada rezeki untuk kembali sebagai penyanyi atau penghibur. Tetapi jika peluang timbul dan ada penerbit yang mempunyai kepercayaan kepada saya, saya mahu,” katanya.
Katanya juga, dia telah menulis dan mengumpul lagu-lagu untuk dirinya, tetapi jika dirinya mahu membuat album, dia berharap untuk membuatnya dengan sebaik mungkin.
sumber: kosmo

You Might Also Like

4 insan comel komen

  1. nour akmal tu la..baguslah tak pernah ada artis nak jadi askar pon! sume blagak..hahha

    ReplyDelete
  2. mesti garang ni...hehehe... tgk muke pun takut...

    ReplyDelete
  3. geminigurlzhahaha bapak askar ikut jejak langkah la tu..ngeeee

    ReplyDelete


Please leave your comments ladies and gentleman.Thank you so much for reading!