Tak sempat tengok anak jadi Doktor

RUSNAH (kanan) menyirami pusara arwah anaknya  Anak kedua Timbalan Ketua Pengarah JPN rentung dalam kemalangan jalan raya PUTRAJ...



RUSNAH (kanan) menyirami pusara arwah anaknya sambil disaksikan Zulkifli (kiri) di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya, kelmarin. Gambar kecil, Muhammad Danial.
RUSNAH (kanan) menyirami pusara arwah anaknya 

Anak kedua Timbalan Ketua Pengarah JPN rentung dalam kemalangan jalan raya

PUTRAJAYA: Ayah dan ibu terkilan kerana tidak sempat melihat anak keduanya bergelar doktor kerana rentung dalam kemalangan jalan raya di kilometer 7.2 Jalan Alor Setar-Kangar, dekat Simpang Empat, Kangar malam kelmarin.
Bapa mangsa, Zulkifli Rahmat, 54, yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Pendaftaran Negara, berkata beliau dan isteri, Rusnah Othman, 56, sedih tetapi reda dengan pemergian anak mereka yang sepatutnya menghabiskan latihan amali selama tiga tahun dan dijangka berakhir di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.
Katanya, kehilangan Muhammad Danial, 24, terasa begitu cepat selepas kali terakhir bertemu ketika anaknya itu balik rumah mereka di Presint 9 di sini, menyambut awal Ramadan kira-kira dua minggu lalu.

Zulkifli berkata beliau juga hairan Muhammad Danial kerap pulang ke rumah mereka sejak kebelakangan ini terutama jika tiada kelas pada hujung minggu.

“Kali terakhir ibunya menelefon pada Selasa lalu untuk bertanya khabar dan dia hanya berkata akan balik untuk sambut Aidilfitri tetapi tidak tahu lagi tarikhnya,” katanya

Mangsa mempunyai seorang kakak yang bertugas di Telekom Malaysia dan adik yang masih belajar di sebuah universiti swasta di Melaka.
Zulkifli dan isterinya, juga tidak sanggup menatap jenazah anaknya itu yang rentung akibat kemalangan itu.

Katanya, beliau difahamkan, kejadian berlaku ketika Muhammad Danial, dalam perjalanan pulang dari Alor Setar ke rumah sewanya di Kangar, apabila kereta Perodua Myvi dipandunya dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan lain.

“Kawannya maklumkan dia keluar untuk membeli makanan berbuka puasa di Alor Setar. Bagaimanapun, dalam perjalanan itu, Muhammad Danial mengubah fikiran dan mahu berpatah balik ke Kangar, sebelum dilanggar sebuah kereta lain dari arah belakang ketika mahu membuat pusingan U,” katanya selepas pengebumian mangsa di Taman Selatan, Presint 20, di sini, kelmarin. 

Muhammad Danial dijangka menamatkan pengajiannya pada akhir tahun ini. Beliau adalah pelajar tahun akhir jurusan perubatan di Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) dalam program berkembar dengan Universiti Sumatera Utara, Indonesia.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Perlis, Asisten Superintendan Rosli Yahaya, berkata pihaknya hanya mampu mengesan identiti mangsa berdasarkan kepada nombor plat kenderaan yang didaftarkan atas nama bapanya, Zulkifli di Putrajaya.

"Bagaimanapun, keadaan mayat yang rentung sepenuhnya menyukarkan pihak keluarga untuk mengenal pasti identiti mangsa. 

"Apa pun, pengenalan diri positif diperoleh selepas salah seorang rakan mangsa mengenali pen berlampu yang ditemui di tempat kejadian, yang disahkan kepunyaan Mohd Danial," katanya. 

Mengulas insiden berkenaan, Rosli berkata mangsa dikatakan cuba melakukan pusingan U di lokasi kejadian, sebelum kereta dipandu Lim Tai Eng, 58, dari Jalan Raja Syed Alwi, yang berada di belakangnya gagal mengelak dan terus merempuh bahagian sisi belakang sebelah kanan Myvi milik Muhammad Danial.

Beliau berkata, pihaknya percaya rempuhan terbabit mengenai bahagian tangki minyak kenderaan mangsa, sehingga mencetuskan kebakaran.

"Pemandu Toyota Corolla SEG terbabit yang patah tangan bagaimanapun sempat keluar dan menyelamatkan diri. Bagaimanapun, Danial gagal berbuat demikian sebelum terbakar bersama kedua-dua kereta terbabit. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa kemudian dituntut bapa saudaranya, sebelum dibawa pulang ke kediaman keluarganya di Presint 9 Putrajaya," katanya. 



Innalilah..semoga rohnya di cucuri rahmat


You Might Also Like

2 insan comel komen


Please leave your comments ladies and gentleman.Thank you so much for reading!