Jururawat Idaman

MUHASABAH SEORANG JURURAWAT.. . Siapa dia Jururawat Muslimah ? Persoalan yang kelihatan mudah untuk diberikan jawapa...



MUHASABAH SEORANG JURURAWAT...


Siapa dia Jururawat Muslimah? Persoalan yang kelihatan mudah untuk diberikan jawapan namun ingatlah, mulut itu lebih mudah menuturkan kata kata berbanding jasad mu melakukannya. Mari kita bermuhasabah diri, kriteria kriteria jururawat muslimah, inspirasi bersama buat srikandi Ansorullah...

Bagiku, jururawat muslimah itu, di mana saja dia berada, dia sentiasa membawa tarbiyah ISLAM bersamanya. Sebelum memulakan sesuatu dia mengucapkan Bismillahirahmanirahim, setelah selesai, dia tanpa segan silu melafazkan Alhamdulillah. Sesungguhnya tarbiyah ISLAM itu akan jelas kelihatan melalui perlakuan. Amal ibadahnya sentiasa terjaga. Sanggup dia mengambil masa untuk menunaikan solat malah mengingatkan para pesakitnya agar tidak lupa sujud kepada ALLAH SWT. Kerana bagi dirinya, dimana dia berada, dia perlu sentiasa mengingatkan bahawa kita ini adalah hamba, kita harus sentiasa sujud meminta dari yang Maha Esa.

Bagiku jururawat muslimah itu, sentiasa memandang setiap individu dengan kaca mata dakwah. Pesakit yang dirawat bukan sekadar sakit luaran atau tubuh badan tetapi juga sakit hatinya. Rawatan tersebut bukan rawatan biasa tetapi rawatan menghidupkan hati dengan membawanya mengingati ALLAH SWT. Peristiwa di mana seseorang telah masuk ISLAM setelah mendengar Rasulullah SAW mengucapkan Bismillahirahmanirahim. Jururawat muslimah mestilah kreatif dalam mengatur catur dakwahnya.

Bagiku jururawat muslimah itu, perlu sentiasa berani. Dia tidak perlu gentar untuk membawa nama ISLAM. Diriku amat tertarik dengan penggunaan lencana lencana yang bertulis seperti 'Palestin di hatiku, Fear ALLAH' dan sebagainya pada uniform jururawat. Sekurang kurangnya pesakit dalam melihatnya. Biarpun kita tidak tahu hasilnya, namun hanya ALLAH swt sahaja yang bisa menilai setiap perjuangan dakwah.

Bagiku jururawat muslimah itu, harus tidak pernah kenal erti penat. Biar kerja tidak menentu masa tetapi sentiasa punya ruang untuk memikirkan gerak kerja dakwah. Mungkin langkahnya sudah tidak seligat dulu, namun dia percaya pada istilah menarik rambut dalam sepinggan tepung. Segala galanya perlu diaturkan dengan berstrategi kerana sesungguhnya muslimah tarbiyah itu sudah pasti puny kebijaksanaan mengatur masanya..

Bagiku jururawat muslimah itu adalah jururawat sebenar bukan sekadar di tempat dia bertugas tetapi juga pada luar waktu tugasannya. Dia boleh merawat hati keluarganya untuk mengamalkan ISLAM, dia boleh merawat jiwa suaminya yang lelah berjuang dalam gerak kerja ISLAM, dia boleh merawat kehausan anak anaknya yang perlu dibelai untuk membentuk mujahidin dan mujahidah ISLAM. Sesungguhnya dia bukan sahaja jururawat dirumahnya, malah untuk masyarakat sekelilingnya. Dia menjadi penguat dalam menguruskan aktiviti dakwah ISLAM disekitarnya. Dia berusaha merawat hati hati yang sakit dengan tarbiyah cinta ISLAM... subhanALLAH

Alangkah baiknya jika ciri ciri jururawat muslimah itu ada dalam diriku dan dirimu. Rasa takut juga melanda hati, mampukah diri ini menjadi seperti yang diimpikan. Buat srikandi bunga agama, ku mohon doa dan bimbinganmu, sekiranya diriku sudah terlalai dan hampir tersungkur di jalan yang panjang ini, maka hulurkanlah tanganmu, ingatkanlah diriku betapa indahnya perjuangan merebut cintaNYA berbanding hidup hanya kerana dunia yang hina. Janganlah kalian membiarkan aku terus hanyut dan akhirnya menjadi seorang yang tewas dan lari dari medan pertempuran.

Buat mereka yang bergelar jururawat, adakah dirimu benar benar telah menepati kriteria seorang jururawat muslimah? Adakah kerjaya ini yang kau temui dalam istikharah malam mu? Sesuci mana niatmu dalam mengatur langkah merawat pesakitmu? Adakah semuanya kerana ALLAH? Maka jika jawabmu semuanya kerana ALLAH, jangan sekali dikau tinggalkan kriteria jururawat muslimah itu dari dalam dirimu. Bawalah ISLAM dan perjuanganmu itu biar kemana sahaja dirimu dicampakkan. Yakinlah, jururawat itu profesion yang sangat mulia, Janganlah dikau cemarkan kemuliaannya sebaliknya teruslah menghiasinya dengan indahnya akhlak dan pekerti dirimu. Semoga semuanya hanya kerana ALLAH...

Ya ALLAH jadikanlah kami bidadari syurga!


You Might Also Like

0 insan comel komen


Please leave your comments ladies and gentleman.Thank you so much for reading!