Doktor lemas bersama Jururawat

Pakar kardiologi Pusat Jantung HUS cuba bantu rakan tergelincir ketika berkelah   KUCHING: Seorang doktor muda sempat mengucapkan ...

RAKAN yang turut sama berkelah berada di sisi mayat mangsa lemas sebelum dibawa ke Hospital Umum Sarawak, semalam.


Pakar kardiologi Pusat Jantung HUS cuba bantu rakan tergelincir ketika berkelah 

KUCHING: Seorang doktor muda sempat mengucapkan 'Selamat Hari Ibu' kepada ibunya kelmarin, sebelum lemas ketika cuba menyelamatkan seorang rakan yang turut lemas selepas tergelincir ke dalam sungai ketika mandi bersama dua rakan lain di air terjun Kampung Giam, Padawan, dekat sini, semalam.
Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Dr Mohd Azri Dollah, 27, dari Semariang, seorang pakar kardiologi Pusat Jantung, Hospital Umum Sarawak (HUS) Samarahan dan jururawat di Hospital Memorial Rajah Brooke, Norfazillah Abdul Kadir, 23, berasal dari Kampung Baru, Samarahan.

Mereka bersama dua lagi rakan yang juga jururawat, pergi berkelah di air terjun yang terletak kira-kira 35 km dari sini, pagi semalam. 

Kejadian berlaku jam 11.30 pagi, apabila Norfazillah yang mandi di tepi air terjun dilihat terkapai-kapai meminta bantuan dan apabila menyedari mangsa tidak pandai berenang, Dr Mohd Azri terus terjun dan cuba menyelamatkannya. 

Namun, beliau dipercayai menghadapi kesukaran berikutan arus kuat serta badannya yang ditarik Norfazillah yang panik sehingga kedua-dua mangsa lemas dan hilang di tempat kejadian. 

Dua rakan mangsa yang menyaksikan kejadian kemudian meminta pertolongan penduduk kampung yang mengambil masa kira-kira 20 minit mencari mayat mangsa yang tenggelam ke lubuk sungai. 
Ibu Dr Mohd Azri, Sharifah Mordiah Wan Abu Bakar, 53, berkata anaknya itu menyatakan hasrat membawanya keluar makan malam sempena Hari Ibu semalam selepas tidak dapat berbuat demikian malam kelmarin. 

“Dia sempat memeluk dan mengucapkan ‘Selamat Hari Ibu’ kepada saya dan berjanji membawa kami sekeluarga menikmati makan malam hari ini (semalam) selepas mahu menanti semua adik beradik berkumpul bersama meraikan Hari Ibu,” katanya. 

Sementara itu, ibu Norfazillah, Latifah Led, 47, berkata anaknya itu mula berubah apabila dia memakai baju kurung dan tudung putih ketika menghadiri majlis perkahwinan seorang saudara mereka di Samarahan, kelmarin. 

“Saya tidak mengesyaki apa-apa ketika Norfazillah memakai pakaian serba putih ketika menghadiri majlis perkahwinan saudara kami, malah dia kelihatan cukup ceria sepanjang kenduri, termasuk sempat bergurau bersama ahli keluarga yang lain,” katanya. 


You Might Also Like

2 insan comel komen


Please leave your comments ladies and gentleman.Thank you so much for reading!